Khamis, 23 Februari 2012

Taklimat Makmal Bahasa - JKR Hilir Perak

Satu taklimat oleh wakil Jabatan Kerja Raya Hilir Perak telah diadakan di PLGDP Zon Tengah. Taklimat tersebut adalah berkaitan dengan kerja-kerja kontraktor sivil dan elektrikal di Makmal Bahasa PLGDP Zon Tengah. Taklimat tersebut turut dihadiri oleh Penyelaras PLGDP sendiri, En. Kamarulzaman Abd Rahman, wakil IPGK Ipoh dan wakil kedua-dua kontraktor yang telah dilantik iaitu Integrated Electrical and Electronic dan Desa Hilir Enterprise. Taklimat dan lawatan tapak ke Makmal Bahasa PLGDP selama kira-kira dua jam telah berakhir pada pukul 12.30.

Selasa, 21 Februari 2012

Pembinaan Makmal Bahasa PLGDP Zon Tengah Bermula...

Setelah sekian lama tertangguh, akhirnya pada hari ini, kerja-kerja pengubahsuaian makmal ICT kepada Makmal Bahasa telah pun bermula. Bagi kerja-kerja pengubahsuaian, dua buah syarikat kontraktor telah dilantik oleh JKR bagi mengubahsuai syiling dan mengecat dinding serta memasang punca kuasa elektrik di bahagian lantai. Adalah difahamkan pihak JKR akan mengadakan taklimat berkaitan kerja-kerja ini pada esok, 22 Februari 2012 bertempat di PLGDP Zon Tengah. Taklimat ini turut akan dihadiri oleh wakil teknikal dari IPGK Ipoh. Semoga kerja-kerja ini akan siap dengan sempurna mengikut tempoh yang telah dirancangkan.

Rabu, 15 Februari 2012

Program Jiran Cemerlang - PPD Hilir Perak

Pada hari Khamis, 2 Februari 2012, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Hilir Perak telah mengadakan taklimat dan mesyuarat Program Jiran Cemerlang di Bilik Kuliah 3 dan 4. Program selama sehari tersebut telah dihadiri oleh seramai 30 orang Guru Besar dan Pengetua dari sekolah-sekolah sekitar Daerah Hilir Perak.

Selain PLGDP Zon Tengah, pada hari yang sama program seumpama tersebut turut di adakan di premis lain seperti Pusat Kegiatan Guru Hutan Melintang dan sebagainya.

Makluman Pengambil alihan PLGDP oleh BPG

Adalah dimaklumkan bahawa mulai 1 Januari 2012, pentadbiran dan pengurusan PLGDP Zon Utara, Tengah, Timur dan Selatan telah diambil alih sepenuhnya oleh Bahagian Pendidikan Guru daripada Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, Ipoh, Tengku Ampuan Afzan dan Temenggung Ibrahim yang diamanahkan sebelum ini untuk menguruskan PLGDP-PLGDP tersebut.

Pengambil alihan ini bertepatan dengan pengasingan fungsi BPG dan IPGM di mana BPG menumpukan kepada latihan guru dalam perkhidmatan (keguruan) manakala IPGM menumpukan kepada latihan pra perkhidmatan (perguruan).

Walau bagaimanapun pengambil alihan ini tidak mengubah peranan dan tanggungjawab yang dimainkan oleh PLGDP seperti sebelum ini. Ketika ini PLGDP Zon Tengah dterajui oleh En. Kamarulzaman bin Abd Rahman selaku Penyelaras dan dibantu oleh Pn. Nurhidayati bt Mohd Masdar (pentadbiran dan tempahan), Cik Ruziana bt Sekon (pengurusan program) dan Cik Nor Aquia bt Emla (kebersihan dan keselamatan). Selain itu, PLGDP ini juga diperkuatkan dengan lima orang pengawal keselamatan dan lima orang pekerja kebersihan.

Selasa, 14 Februari 2012

Taklimat Pengurusan Penyeliaan Praktikum untuk Guru Pembimbing - IPGK Ipoh

Seramai 74 orang guru dari sekolah-sekolah sekitar Hilir Perak, Manjung dan Batang Padang telah menghadiri taklimat tersebut yang bermula dari pukul 8.30 pagi dan berakhir pada pukul 4.00 petang. Taklimat tersebut telah dikendalikan oleh beberapa orang pensyarah dan pegawai unit praktikum IPG Kampus Ipoh. Taklimat yang telah diadakan di Dewan Kuliah PLGDP Zon Tengah merupakan program yang kedua mengisi slot kursus dan latihan bagi tahun 2012.

Kenduri Kesyukuran 2012

Malam 13 Februari 2012, Syarikat SF Catering iaitu antara katerer yang aktif menguruskan penyediaan makanan bagi penganjuran kursus dan latihan di PLGDP Zon Tengah beserta pihak pengurusan PLGDP telah mengadakan kenduri kesyukuran bertempat di Kafeteria PLGDP. Hampir 50 orang tetamu telah hadir termasuk para jemaah dari Surau Kg Epil. Sebelum menjamu selera, para hadirin telah mengaminkan doa selamat yang dibacakan oleh Tn Hj Razali, Pensyarah Kanan IPGK Ipoh dan mantan penyelaras di PLGDP Zon Tengah. Sebelum pulang, para tetamu telah dibekalkan dengan sedikit buah tangan.