LATAR BELAKANG


Pusat Latihan Guru Dalam Perkhidmatan (PLGDP) Zon Tengah merupakan bekas Kuarters Institusi Pendidikan (KIP) yang terletak di bandar Hutan Melintang, Perak. Premis PLGDP Zon Tengah ini didirikan kira-kira lapan tahun yang lalu di atas bekas ladang kelapa sawit dengan binaannya berkonsepkan ‘pasang siap’. Cadangan asal pembinaannya adalah untuk dijadikan kediaman guru-guru dan kakitangan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) (ketika itu Kementerian Pendidikan Malaysia). Walau bagaimanapun, setelah beberapa tahun, bangunan ini telah terbiar usang kerana tidak diduduki oleh sebarang penghuni.





Sehubungan itu, pada 24 Mac 2009, bangunan ini telah diambil alih oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) daripada pentadbiran Jabatan Pelajaran Negeri Perak untuk dijadikan sebagai Pusat Latihan Guru Dalam Perkhidmatan (PLGDP) Zon Tengah. PLGDP Zon Tengah ini mula beroperasi sejak 5 Julai 2010 sebaik sahaja selesai dinaik taraf daripada Kuarters Institusi Pendidikan (KIP). 

PLGDP Zon Tengah ini pada awalnya ditadbir urus oleh Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ipoh bagi pihak BPG sehingga penghujung tahun 2011. Oleh kerana pemisahan fungsi antara IPG yang melaksanakan latihan untuk bakal guru atau pra perkhidmatan dan BPG yang menerajui latihan guru dalam perkhidmatan, pentadbiran PLGDP Zon Tengah ini telah diambil alih semula oleh BPG pada awal tahun 2012.


Sehingga kini, PLGDP Zon Tengah ini merupakan antara premis kerajaan yang menjadi tumpuan untuk menjalankan pelbagai aktiviti dan program sama ada mesyuarat, kursus dan bengkel untuk pegawai-pegawai KPM, JPN, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), sekolah, agensi-agensi kerajaan di kementerian lain dan badan bukan kerajaan (NGO). Pada tahun 2012 sahaja,  PLGDP Zon Tengah telah melaksanakan 52 program dengan penyertaan peserta seramai 3,135 orang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan